IM MALAYSIA BLOGGER

EDITOR JEJAK 87

Foto saya
Jasin, Melaka, Malaysia
Mohd Farid bin Baharudin @ Deejay Wid. Anak tunggal yang lahir pada 28 Februari 1987 di Melaka. Bekas pelajar Sek.Keb.Selandar, Sek.Men.Keb.Selandar, Sek.Men.Keb.Telok Mas dan Institut Perguruan Ipoh Perak. Mewakili negara ke Jepun pada tahun 2000. Pelatih PLKN Kump.2-Siri 2 tahun 2005. Anggota Perguruan Seni Silat Gerak Insan Seni sejak 2002. Bersama perjuangan HPA dengan no.keahlian 470711.MY01 berpangkat Pengurus Melati PLX. Berumahtangga pada 3 November 2007 dan menjadi bapa pada 28 November 2008. Berpengalaman menjadi juruacara dan terlibat dengan tugas sebagai seorang DJ sejak tahun 2001. Kini bertugas di salah sebuah konty terbuka di Melaka secara sepenuh masa. Pendokong perjuangan Pakatan Rakyat dari PKR.

KOMUNITI JEJAK 87

27 Ogos 2009

MAJLIS RAMADHAN SEDERHANA, PENUH MAKNA

Firman Allah...
"Wahai orang-orang yang beriman!
Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan fidyah, maka itu adalah satu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah). Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu ia berbuka) maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
[Surah Al-Baqarah, Ayat : 183-185]

_______________________***_______________________

06 Ramadhan 1430 Hijrah
Bersamaan 27 Ogos 2009 - Khamis

...Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih Berjemaah, Kelab Sahabat Siti Khadijah di HPA Cawangan Semabok Perdana, Melaka Bandaraya Warisan Dunia...

Salam Ramadhan buat sekian kalinya di entri kali ini. Seiring rasa syukur yang tak terhingga kehadrat yang Maha Esa, majlis yang dirancang oleh pihak KSSK telah selamat berlangsung dengan jayanya semalam. Alhamdulillah...

Keberangkatan aku bersama pengiring setia, (wah !! macam dato'2 pulak ader pengiring skali) sepupu aku Mohd Nursyafiq Yaahya, aku bergerak dari rumahku ke lokasi (Semabok Perdana) lebih kurang jam 6.00 petang. Sememangnya aku tak pernah ke cawangan tersebut sebelum nie. Cuma hanya tahu akan gambaran jalan untuk ke sana.

Alhamdulillah, kami berjaya sampai sebelum jam 7.00 malam. Cawangan HPA setinggi 3 tingkat itu menyambut kehadiran kami dengan dengan sapaan dari PJE Ustaz Kamaruzzaman (Ustaz K) yang menjengah muka dari jendela di tingkat dua.
"Ambil gambar saya ker?", katanya sambil tersenyum melihat lanser kameraku merakam photo logo HPA di cawangan berkenaan, sebagai 'idea' pertama bagi entri ini.


Kelihatan sudah banyak kereta di tempat parking yang ber'sticker' kopi radix. Pastinya kenderaan milik teman-teman seperjuangan. Ramai gamaknya...!!!

Kaki melangkah anak-anak tangga menuju ke tingkat 2 bangunan tersebut dan sekali lagi lanser aku 'dikerah' merakam gelagat anak-anak waris perjuangan kami nanti (insyAllah) yang sedang 'sibuk' bermain. Dah jumpa kawan sebaya, apa lagi? Riuhnya mereka menambah ceria di majlis tersebut.



Sempat juga aku dan sepupuku ber'pose' di depan pintu masuk berkenaan, berlatarbelakangkan poster-poster produk yang kami perjuangankan.



Daun pintu di tingkat 2 itu kuselak, salam diberi. Ternyata benar tekaan aku dibawah tadi, ramai yang telah sedia menanti. Tangan kuhulur berjabat mesra dengan mereka yang duduk bersimpuh menanti waktu berbuka ketika itu. Antaranya, PJM & DOTY 2009, saudara Hafidzan Fauzi, PJ Abd Halim Said, PJE Ustaz Kamaruzzaman (Ustaz K), beberapa orang kuat KSSK yang belum kuingat nama mereka dan pangkat masing-masing, serta beberapa orang anak-anak yang tak turut serta 'sibuk' di tangga tadi. He...he...he....

Seketika kemudian..........


Laungan azan yang berkumandang menandakan selesainya puasa kami untuk hari yang ke-6 tahun ini. Doa berbuka dibacakan oleh PJE Ustaz K, dan seiring itu suapan buah tamar serta air mineral HPA menjengah rongga mulut masing-masing. Terasa nikmat berbuka waktu itu.

Benarlah sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
"Setiap orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan, iaitu tatkala berbuka puasa dan saat bertemu dengan Tuhannya" (Hadith Riwayat: Bukhari)










Sesi berbuka puasa kami malam itu dibahagi untuk dua bahagian. 'Makan keciK' dan 'makan besaU', kata PJE Ustaz K. Maksudnya, lepas azan maghrib kami dihidangkan jamuan berbuka sekadar yang ringan-ringan (makan kecik)... Pelbagai jenis kuih-muih hasil pemberian dari para jemaah yang hadir sama-sama dinikmati.

Selepas solat maghrib, baru nasi berlaukkan daging tetel masak asam pedas, sayur campur dan berulam mentimun disajikan (makan besaU). Alhamdulillah, majlis jamuan kami malam itu cukup bermakna dengan kurnia rezeki dari-Nya.

Selang beberapa ketika pula (selesai jamuan makan), sekali lagi azan berkumandang tanda telah masuk waktu Isya'. Agenda diteruskan dengan semua jemaah mendirikan solat fardhu isya' dan diimamkan sekali lagi oleh PJE Ustaz K.

Jabir r.a berkata, Rasullullah SAW pernah ditanya,
"Apakah yang utama dalam solat itu?"
Jawab baginda,
"Lama berdiri."
(Hadis Riwayat: Muslim)

Takkan terasa hadirnya Ramadhan kalau ibadah terawih tak terlaksana (biarpun bukanlah satu dosa meninggalkannya).... Selesai solat fardhu isya', tuntutan sunat di bulan Ramadhan mulia ini disahut semua jemaah dengan mendirikan solat sunat terawih dengan bilangan 8 rakaat dan macam biasalah, ditambah sunat witir 3 rakaat.

Jadual majlis berjalan dengan teratur sekali. Selesai terawih dan witir, kami dihidangkan pula santapan rohani dalam slot tazkirah oleh PJE Ustaz K, yang juga Ketua Biro Agama KSSK... Jangan hanya perut nak diisi, tapi hati juga perlu sentiasa diberikan 'makanannya' agar peringatan disampai, hati tak lalai. InsyAllah....





Tazkirah oleh al-ustaz selesai... Moga jemaah mendapat sedikit pengisian dalam slot berkenaan. Syukran ya ustaz...

Majlis kami belum berakhir... Tuan pengerusi majlis, PJ Abd Halim Said, yang merupakan Pengerusi KSSK membuka sedikit ruang malam itu untuk tetamu undangan kami, PJM Hafidzan Fauzi menyampaikan info terkini dalam HPA. Antara maklumat yang disampaikan tuan PJM ialah:
1. Mesyuarat Ahli Lembaga Koperasi (ALK) Ko-Wahida yang telah berlangsung petang itu (26 Ogos'09) di Kangar, Perlis dan pengumuman Ko-Wahida sebagai koperasi TERBAIK Negeri Perlis 2009.
http://kowahida.blogspot.com/
2. Berita tentang pembinaan RFC di Shah Alam dll.




Demikianlah sedikit coretan dari majlis berbuka puasa dan solat terawih KSSK Negeri Melaka ini, dan beberapa photo kenangan indah kami bersama. Semoga segala yang baik itu diterima Allah dan segala kekurangan dipohonkan doa agar diberikan kekuatan untuk masa mendatang.

Selaku Editor JEJAK 87, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur majlis, Kelab Sahabat Siti Khadijah (KSSK) atas penganjuran acara yang sungguh bermakna ini dan sudi menjemput saya untuk turut serta. Harap lepas ni lebih banyak majlis dianjurkan pihak kelab sebagai mengukuhkan hubungan antara ahli dan memastikan semangat perjuangan ini tak luntur. InsyAllah... Paling penting, JEMPUT SAYA.... he he he he....

Terima kasih juga kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak, dalam penganjuran majlis ini. Moga sama-sama mendapat keberkatan dan rahmat di bulan mulia ini. Amin ~~~

- SALAM PERJUANGAN -

* maaf kerana kualiti gambar kurang bagus...

25 Ogos 2009

TAZKIRAH RAMADHAN: SYAFAAT SURAH


Alhamdulillah, solat subuh di masjid Selandar pagi ini diakhiri dengan sedikit tazkirah oleh tuan imam Jamal. Beliau membacakan sebuah buku yang sering digunakan sebelum-sebelum ini bagi menyampaikan tazkirah ringkas. Dan pagi ini, keistimewaan (fadhilat) membaca surah Al-Mulk (Tabarak) dan Alim-Lam-Mim (As-Sajjdah) menjadi tajuk pilihan beliau. Jom aku kongsikan bersama sebagai salah satu amalan yang boleh dilaksanakan sebagai tambahan 'bonus' kita bulan Mubarak ini... InsyAllah.
_____________________***_____________________

Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda...
"Ada satu surah di dalam Al-Quran yang terdiri daripada tiga puluh ayat yang akan memberi syafa'at kepada seseorang (pembacanya) itu, sehinggalah ianya diampunkan. Ini adalah surah Tabarakal-lazhi".

Tentang surah Tabarakal-lazhi ini ada satu riwayat yang lain menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
"Hatiku mengkehendaki supaya surah ini berada di dalam setiap hati orang-orang yang beriman".

Mengikut satu hadith, seseorang yang membaca dua surah iaitu Tabarakal-lazhi dan Alif-Lam-Mim-Sajdah (surah As-Sajjdah) di antara sembahyang Maghrib dan Isya' adalah seumpama sesorang yang berdiri sembahyang untuk sepanjang malam Lailatul Qadar.

Adalah diberitakan juga bahawa, jika seseorang itu membaca dua surah ini, 70 kelebihan akan diperolehinya dan 70 dosa akan dihapuskan. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca dua surah ini, ganjaran pahalanya adalah menyamai orang yang berdiri sembahyang sepanjang malam Lailatul Qadar. Ini juga telah disebutkan di dalam Mazahir.

Tarmidzi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra:
"Sekumpulan sahabat telah mendirikan satu khemah di satu tempat tanpa mengetahui bahawa di situ terdapat sebuah kubur. Dengan tiba-tiba, mereka-mereka yang mendirikan khemah itu mendengar seorang sedang membaca surah Tabarakal-lazhi (Al-Mulk). Mereka pun menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah SAW, lalu baginda menerangkan kepada mereka bahawa surah ini akan menjaga mereka daripada azab Allah dan menjaminkan keselamatan.

Jabir r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak akan pergi tidur sebelum membaca surah Alif-Lam-Mim-Sajdah dan Tabarakal-lazhi.

Khalid Ibn-e Ma'dan r.a telah berkata bahawa ia pernah mendengar satu riwayat yang mengatakan bahawa ada seorang pendosa besar yang pernah membaca surah Sajjdah tetapi tidak pernah membaca surah yang lain-lain. Surah ini telah mengembangkan sayapnya diatas orang ini dan memohon kepada Allah,
"Wahai Pemberi Rezekiku ! Orang ini kerapkali membaca daku".

Dengan syafa'at dari surah ini diterima oleh Allah lalu diperintahkan supaya setiap dosa yang dimasukkan di dalam kiraannya digantikan dengan pahala.

Khalid Ibn-e Ma'dan r.a juga telah meriwayatkan bahawa surah ini akan merayu bagi pihak pembacanya di dalam kubur dengan berkata,
'Ya Allah ! Jikalau aku ini berada di dalam kitab-Mu, maka terimalah syaf'atku, jika tidak, hilangkan lah sahaja daku ini daripada KitabMu !'

Surah ini akan muncul di dalam bentuk seekor burung, mengembangkan sayapnya ke atas mayat itu dan menjaganya daripada siksaan kubur.

Ta'us telah berkata,
"Kedua-dua surah ini mendatangkan enam-puluh kelebihan-kelebihannya yang mengatasi daripada segala surah-surah.

Siksaan didalam kubur bukanlah satu perkara yang biasa. Setelah meninggal dunia, tingkat pertama seseorang itu mesti lalui ialah kubur. Apabila Hadrat Uthaman r.a berdiri diatas sebuah kubur, ia akan menangis dengan begitu sekali sehinggalah janggutnya dibasahi airmatanya. Seseorang telah bertanya kepadanya mengapakah menangis begitu rupa jika di sebut kubur daripada di sebutkan Syurga atau Neraka ??

Ia menjawab,
"Aku telah mendengar dari Rasulullah SAW bahawa kuburlah tempat persinggahan yang pertama untuk menuju akhirat. Barangsiapa terselamat daripada azabnya , peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Dan sesiapa yang tidak selamat daripada azab di dalamnya, kepadanya peristiwa yang akan datang kelak menjadikan lebih sukar sekali. Dan daku juga mendengar bahawa tidak ada satu gambaran yang lebih menakutkan dan menggerunkan selain daripada apa yang ada didalam kubur".

PERMATANG PASIR: TAHNIAH PAS !!!


Ustaz Salleh Man ( PAS ) - 9618 undi
Rohaizat Othman( BN ) - 5067 undi
Majoriti : 4551 undi
Undi rosak : 83 undi
Keluar Mengundi :14,832 (73.1 %)
Jumlah Pengundi : 20,290 orang

* Keputusan Pilihanraya Umum ke-12 : PAS menang 5,433 undi

TAHNIAH BUAT USTAZ SALLEH MAN !!!

22 Ogos 2009

RAMADHAN DISAMBUT, BIDADARI DIIMPI, KERANA JANJI ALLAH BUKAN MIMPI

Bidadari merupakan salah satu anugerah Allah kepada seorang lelaki yang memasuki syurga. Bagi seorang wanita yang solehah maka bidadari bagi suaminya adalah dikalangan bidadari-bidadari kurniaan Allah dan dia (isteri solehah merupakan ketua akan segala bidadari- bidadari).
Berjihad pada agama Allah merupakan satu amalan yang menjadi kesukaan Allah SWT dan ini merupakan sunnah besar nabi SAW dan kalangan sahabat-sahabat. Setiap manusia yang mati walaupun berapa umurnya, maka akan ditanya dimanakah masa mudanya dihabiskan.

Kisah Ainul Mardhiah bermula disini........

'Ainul Mardhiah' merupakan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari yang lain (bermaksud mata yang di redhai). Suatu pagi (dalam bulan puasa) ketika nabi memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan sahabat
untuk berjihad pada agama Allah) sebelum keluar perang pada petang itu, katanya sesiapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba dia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari syurga. Mendengar berita itu seorang sahabat yang usianya sangat muda, teringin sangat nak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut....

Namun dia malu nak bertanyakan kepada nabi SAW kerana malu pada sahabat-sahabat yang lain. Namun dia tetap memberikan namanya sebagai salah seorang yang akan turut serta dalam peperangan perang tersebut. Sebelum Zohor, sunnah nabi akan tidur sebentar (dipanggil khailulah), maka sahabat yang muda tadi juga turut tidur...

Dalam tidur tersebut dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu ditanyanya dimanakah dia sedang berada? Lalu lelaki itu menjawab "inilah syurga".

Lalu si pemuda yang bermimpi itu menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan 'Ainul Mardhiah'... Lantas ditunjukknya di suatu arah, maka berjalan dia... Di satu pohon beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dilihat kecantikannya... Tak pernah dilihat di dunia ini... Lalu diberi salam dan dia bertanya, "andakah Ainul Mardhiah?
Wanita itu menjawab "Tidak... Saya khadamnya. Ainul Mardhiah ada di atas singgahsana itu".

Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi, sedang duduk mengelap permata-permata hiasan di dalam mahligai.... Lalu diberi salam dan di tanya lagi adakah dia Ainul Mardiah?
Lalu wanita itu menjawab, "Tidak. Saya hanya khadamnya, dia di atas mahligai ini... Lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu. Sampai ke satu peringkat dan pemuda itu mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari yang kedua.... Dan tak pernah dilihat di dunia....
Lalu wanita itu berkata,
"Akulah Ainul Mardhiah, aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku...."
Apabila lelaki itu mendekatinya, wanita itu berkata...
"Nanti. Kamu belum syahid lagi?"
Tersentak pemuda itu lalu dia pun terjaga dari tidurnya lantas diceritakan segala-galanya kepada satu sahabat lain, namun begitu dia memesan agar jangan menceritakan cerita ini kepada Nabi SAW... Tapi sekiranya dia syahid barulah ceritakan kepada Nabi.

Petang itu, pemuda itu bersama-sama dengan pemuda Islam lainnya bersama Nabi SAW telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda itu gugur syahid......
Petang tersebut ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka (tunggu makanan adalah satu sunnah nabi). Maka kawan sahabat pemuda yang syahid tadi telah bangun dan merapati nabi SAW dan menceritakan perihal sahabatnya.
Dalam menceritakan itu, nabi menjawab "Benar... benar... benar...." pada sepanjang cerita tersebut. Akhirnya nabi SAW berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di syurga.
Demikian sedikit kisah untuk direnungi dalam kita sama-sama menjalankan ibadah sepanjang Ramadhan ini. Biarpun ketika ini (khususnya di negara kita) tiadanya peperangan untuk kita merebut peluang syahid akibat gugur di medan tempur, ingatlah bahawa syahid dan jihad di sisi Allah adalah satu makna dan pengertian yang cukup luas. Rebutlah peluang meraikan pesta ibadah di Ramadhan ini, untuk bersama kita tagih akan ganjaran dan janji-janji Allah. Kerana sesungguhnya, Ramadhan juga adalah medan untuk kita memerangi hawa nafsu. Ingatlah juga bahawa Allah tidak pernah mungkir akan segala janji-Nya. Hanya yang sering mungkir, kita manusia yang terlalu daif dan kerap kali menyimpangi laluan hidup ajaran-Nya. Moga semua dirahmati dan Selamat Menjalani Ibadah Puasa hingga akhir medan ini nanti. InsyAllah....
__________________***__________________
Ainul Mardhiah
Album : You And I See
Munsyid : Unic

Dirimu pembakar semangat perwira
Rela berkorban demi agama
Kau jadi taruhan berjuta pemuda
Yang bakal dinobat sebagai syuhada'
Itulah janji pencipta yang Esa

Engkaulah bidadari dalam syurga
Bersemayam di mahligai bahgia
Anggun gayamu wahai seorang puteri
Indahnya wajah bermandi seri
Menjadi cermin tamsilan kendiri
Untuk melakar satu wacana
Buatmu bernama wanita

Ainul Mardhiah...
Kau seharum kuntuman di taman syurga
Menanti hadirnya seorang lelaki
Untuk menjadi bukti cinta sejati

Oh Tuhan...
Bisakah dicari di dunia ini
Seorang wanita bak bidadari
Menghulurkan cinta setulus kasih
Di hati lelaki bernama kekasih
Di hati lelaki bernama kekasih

KSSK: MAJLIS BERBUKA PUASA & SOLAT TERAWIH


Adalah dimaklumkan bahawa, Kelab Sahabat Siti Khadijah bercadang untuk mengadakan majlis berbuka puasa dan solat terawih seperti tentatif berikut:

TARIKH : 27 hb Ogos 2009 (6 Ramadhan 1430H)
HARI : Khamis malam Jumaat
MASA : 6.45 petang - 10.00 malam
TEMPAT: Tingkat 2 HPA-Cawangan Semabok, Perdana Melaka

ATURCARA:
6.45 pm - Kehadiran para jemputan
7.19 pm:
- Majlis Berbuka Puasa
- Solat Maghrib Berjemaah
- Jamuan Makan Malam
- Solat Isyak Berjemaah
- Solat Terawih Berjemaah
- Tazkirah
- Moreh
10.00 pm - Bersurai

* Sumber Berizin: Kelab Sahabat Siti Khadijah
Sila layari laman KSSK di:
http://sahabatsitikhadijah.blogspot.com

20 Ogos 2009

FADHILAT SOLAT TERAWIH RAMADHAN


Diriwayatkan oleh Syaidina Ali Bin Abi Thalib r.a katanya:
"Telah ditanya oleh sahabat-sahabat akan Rasulullah s.a.w tentang kelebihan solat terawih pada malam-malam bulan Ramadhan. Sabda Baginda SAW:

MALAM PERTAMA :
Orang mukmin diampuni dosanya pada malam itu seperti bayi lahir dati kandungan ibunya

MALAM KEDUA :
Allah mengampunkan dosa kita serta dosa kedua orang tua kita

MALAM KETIGA :
Berseru malaikat dibawah Arash supaya kamu meneruskan solat terawih berikutnya semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kamu

MALAM KEEMPAT :
Mendapat pahala sebanyak orang yang membaca Taurat, Zabur, Injil, dan Al-Qur'an

MALAM KELIMA :
Dikurniakan pahala seumpamanya orang solat di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjid al-Aqsa

MALAM KEENAM :
Diberi pahala para malaikat yang thawaf di Baitul Makmur (70000 Malaikat sekali tawaf) serta setiap batu dan tanah mendoakan supaya diampunkan dosa-dosanya

MALAM KETUJUH :
Seolah-olah dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s. serta berjuang bersama menentang Firaun dan Haman

MALAM KELAPAN :
Dikurniakan pahala seperti yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s

MALAM KESEMBILAN :
Seolah-olah dia menyembah Allah seperti Nabi-nabi menyembah Allah

MALAM KESEPULUH :
Dikurniakan kebaikan di dunia dan akhirat

MALAM KESEBELAS :
Keluar dia dari dunia (mati) dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan

MALAM KEDUA BELAS :
Datang dia pada hari akhirat dengan muka bercahaya (cahaya ibadah)

MALAM KETIGA BELAS :
Datang dia pada hari akhirat dalam aman sentosa dari setiap kejahatan dan keburukan

MALAM KEEMPAT BELAS :
Datang para malaikat menyaksikan dia shalat tarawih serta tiada Allah menyesatkannya pada hari akhirat

MALAM KELIMA BELAS :
Semua malaikat yang menanggung Arash berselawat dan mendoakan supaya Allah mengampunkan orang yang solat tarawih

MALAM KEENAM BELAS :
Dituliskan baginya lepas dari neraka dan dimasukkan ke syurga

MALAM KETUJUH BELAS :
Diberikan pahala sebanyak pahala para nabi

MALAM KELAPAN BELAS :
Hai! hamba Allah, sesungguhnya Allah telah redha kepada kamu dan kedua orang tua kamu

MALAM KESEMBILAN BELAS :
Ditingkatkan serta ditinggikan darjatnya di dalam syurga firdaus

MALAM KEDUA PULUH :
Diberi pahala seperti pahala mati syahid

MALAM KEDUA PULUH SATU :
Allah akan membangunkan sebuah istana di syurga yang terbuat dari nur (cahaya)

MALAM KEDUA PULUH DUA :
Dia akan datang pada hari kiamat terbebas dari belenggu kesusahan

MALAM KEDUA PULUH TIGA :
Allah akan membangun untuknya sebuah kota di syurga

MALAM KEDUA PULUH EMPAT :
Diberikan padanya 24 doa yang akan dikabulkan

MALAM KEDUA PULUH LIMA :
Dibebaskan dari azab kubur

MALAM KEDUA PULUH ENAM :
Akan diberikan pahala untuk 40 tahun yang akan datang

MALAM KEDUA PULUH TUJUH :
Ketika hari hari kiamat dia akan melintasi titian shirat seperti secepat kilat

MALAM KEDUA PULUH LAPAN :
Diangkat 1000 darjat di akhirat

MALAM KEDUA PULUH SEMBILAN :
Dikurniakan pahala 1000 kali haji yang mambrur

MALAM KETIGA PULUH :
Allah berfirman : "Hai hamba-Ku, makanlah segala jenis buah-buahan yang hendak engkau makan di dalam syurga dan mandilah engkau dari air syurga yang bernama Salsaabil serta minumlah air dari telaga nabi yang bernama Khautsar, Akulah Tuhanmu dan engkau hambaKu"

17 Ogos 2009

MARHABAN YA RAMADHAN


Kumengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna...
Agar dapat kutempuhi dengan sempurna...

Entri Jejak 87 kali ini terbit atas kesedaran bahawa Ramadhan kian hampir di depan mata... Dalam radio yang sempat aku dengar petang tadi juga, telah memaklumkan bahawa pada Khamis ini (20/Ogos'09) anak bulan akan diteropong.

Bagi negeri Melaka, macam biasalah, Balai Cerap Al-Khawarizmi, Pantai Tanjung Bidara akan menjadi saksi.

* Balai Cerap Al-Khawarizmi, Pantai Tanjung Bidara, Melaka

Saya selaku editor Jejak 87 dan mewakili isteri serta keluarga, ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1430 Hijrah kepada seluruh umat Islam yang berkunjung ke Jejak 87 khasnya, dan di seluruh negara umumnya. Semoga ibadah kita ditingkatkan, redha-Nya bersama kita perolehi. InsyAllah...

Dalam Kitab Durratun Naasihiin, diriwayatkan tentang kisah disyari’atkan puasa.
Dikatakan bahwa yang dimaksud dengan puasa ialah menekan musuh Allah (syaitan). Dan sesungguhnya syaitan memanfaatkan nafsu syahwat sebagai alat penggoda. Kekuatan nafsu akan bertambah disebabkan makan dan minum.

Kerana itulah apabila disoroti akan kisah kejadian, bahwa setelah Allah menciptakan akal dan nafsu, lalu Allah memerintahkan mereka menghadap-Nya. Kemudian ditanya satu persatu.

Akal pun datang menghadap dan ketika disuruh berbalik, berbaliklah ia. Lalu Allah pun bertanya kepadanya, “Man ana wa man anta? (bermaksud: siapa Saya dan siapa kamu?)”.

Maka dengan rasa penuh tawadhuk, akal menjawab, “Anta Rabbi wa ana ‘abduka adh dhoif (bermaksud: Engkau Tuhanku dan aku hamba-Mu yang lemah)”.

Karena itu Allah memberinya kemuliaan kepada akal.

Sedangkan nafsu, ketika diperintahkan untuk menghadap, ia diam saja tidak menjawab. Dan ketika ditanya dengan pertanyaan yang sama, dengan sombongnya nafsu menjawab, “Ana wa ana, Anta wa Anta" (bermaksud: aku adalah aku, Engkau adalah Engkau).

Karena jawapan itulah maka Allah menghukumnya dengan memasukkan nafsu ke dalam neraka Jahiim selama seratus tahun. Setelah dikeluarkan dari neraka dan ditanya semula, diapun menjawabnya dengan jawaban yang sama.

Akhirnya Allah menempatkannya di dalam neraka Juu’ (neraka yang penuh dengan rasa lapar yang amat sangat) selama seratus tahun pula. Ia dibiarkan tanpa makan dan minum.

Dan ternyata puasa itulah yang membuatnya sedar dan tak berdaya. Nafsu menyerah dan mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang menciptakannya.

Demikianlah, kisah yang terdapat dalam kitab Durratun Naasihiin yang menjelaskan bahwa puasa adalah senjata yang paling ampuh untuk menundukkan hawa nafsu...

Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadhan tahun ini (InsyAllah) dan bakal memulakan ibadah puasa beberapa hari lagi. Semoga puasa kali ini dapat lebih meningkatkan ketaqwaan kita dan menajamkan mata hati kita.
Amin...

16 Ogos 2009

BABI JADI PINGGAN

Jul 21, 2009
Pinggan daripada Tulang Babi

CAP minta umat Islam waspada beli seramik campuran haiwan haram

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu berwaspada apabila membeli pinggan mangkuk dan perkakasan makanan seperti cawan dan piring daripada seramik kerana ada jenama tertentu mengandungi campuran tulang haiwan, termasuk tulang babi.

Tinjauan di beberapa gedung beli-belah di ibu negara mendapati tiada label diletakkan bagi memaklumkan pengguna bahan campuran digunakan untuk menghasilkan perkakasan itu. Berbanding dengan kedai kasut yang biasanya meletakkan label 'kasut diperbuat daripada kulit babi' di ruang jualan, peniaga yang menjual pinggan mangkuk mengandungi campuran tulang haiwan tidak memaklumkannya kepada pembeli.

Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim, ketika diminta mengulas, berkata orang ramai boleh mengenali perkakasan yang mengandungi tulang haiwan kerana kebanyakannya tercatat Bone China di belakangnya.

Bone China adalah istilah komersial digunakan pembuat perkakasan pinggan mangkuk yang mengandungi tulang haiwan.

"Berbanding penggunaan kaca dan tembikar sepenuhnya, perkakasan yang mengandungi tulang haiwan ditumbuk halus itu biasanya diimport dari Jepun dan United Kingdom. Ia dicampurkan bagi menjadikannya lebih berkilat dan cantik. Ia biasanya lebih eksklusif dengan harga mencecah RM8,000 satu set," katanya.

Namun, katanya, peniaga sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan meletakkan label di ruang jualan bagi memudahkan umat Islam mengenal pasti sama ada perkakasan dibeli dicampur tulang haiwan.

Bagaimanapun, beliau berkata, umat Islam boleh menghubungi CAP di talian 04-8299511 untuk kepastian.

Pengarah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata pihaknya pernah menerima aduan umat Islam yang khuatir mengenai penggunaan perkakasan seramik yang dikatakan mengandungi tulang haiwan.

"Namun, kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai bukti kukuh. Pihak berkuasa perlu menubuhkan unit khas untuk membuat kajian makmal," katanya.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar, pula berkata, pengguna yang ingin mendapatkan kepastian boleh membawa perkakasan itu untuk dianalisis oleh Unit Pemantauan dan Penguatkuasaannya.

Oleh: Siti Haliza Yusop
Berita Harian Online
22 Julai 2009

* Dipetik dari laman sahabat: PPHM

13 Ogos 2009

AL-FATIHAH BUAT USTAZ ASRI

Marilah kita sama-sama menghadiahkan Al-Fatihah buat roh Allahyarham Ustaz Asri (ketua kumpulan nasyid popular Rabbani) yang telah kembali ke Rahmatullah lebih kurang jam 11 pagi tadi di Hospital Pantai, Kuala Lumpur atas sebab sakit jantung. Moga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Amin.....

AL-FATIHAH....

*MOHAMAD ASRI BIN IBRAHIM (Ust. Asri) merupakan ahli HPA di bawah sahabat network (431155.MY01) di bawah jaringan adik beliau iaitu Ust. Fadhil (pengerusi komuniti Bangi)

11 Ogos 2009

H1N1: CADANGAN SINERGI HPA


Dari masa ke masa, isu H1N1 semakin membimbangkan kita. Angka mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan semakin meningkat. Di Melaka sendiri telah beberapa orang terkorban dan jumlah yang disyaki dijangkiti tak kurang banyaknya.

"Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati".
Itulah antara prinsip yang diterapkan dalam HPA. Berikut adalah sinergi (gabungan) produk herba dari cadangan oleh Tuan Hj.Ismail yang boleh diambil sebagai gabungan bagi pencegahan terhadap H1N1 atau lebih tepat lagi sesuai bertindak sebagai anti-virus:

1. IMT - 3 x 3
2. Roselle - 5 x 3
3. Teh Roselle - 2 x3
4. Madu corcinium - 2 x 3
5. Malac - 2 x 3
6. Kopi Radix
7. Teh herba

Amalkan terus herba-herba HPA sebagai amalan harian. InsyaAllah . Walau apapun mudah-mudahan Allah memunculkan pengubatan kita sebagai penyelamat dalam situasi ini . Amin...

07 Ogos 2009

MALAM MERAIKAN 5 PANGKAT

...Setiap tetes peluh dan darah
Tak akan sirna ditelan masa
Segores luka dijalan Allah
Kan menjadi saksi pengorbanan !!

07 Ogos 2009-Jumaat
Hari ini berlangsungnya satu majlis meraikan ahli-ahli perjuangan HPA Industries. Majlis anjuran bersama Group Sahabat Network dan KSSK Melaka itu bertujuan memberikan sedikit penghargaan atas kenaikkan dan pemilikkan pangkat oleh para ahli dari lima status pangkat yang berbeza:

1.Pengurus Melati - PLX
2.Pengurus Meranti - PRX
3.Pengurus Jati - PJX
4.Pengarah Melati - PL
5.Pengarah Meranti - PR

Solat maghrib berjemaah dengan diimamkan oleh Pengarah Jati Emas (PJE) Ustaz Kamaruzzaman di Surau Al-Amin, majlis perhimpunan kami malam itu bermula tirainya.



Selesai solat maghrib berjemaah, PJE Ustaz Kamaruzzaman mengisi sedikit ruang penantian masuknya waktu solat isyak dengan tazkirahnya... Macam biasalah, mauduq dan isu makanan halal haram menjadi kupasan al-ustaz. Diselit juga pesanan menjelang bulan Ramadhan al-Mubarak yang bakal menjelma tak lama lagi. Alhamdulillah, pengisian waktu yang memberi sedikit bonus malam tersebut.

Majlis dilanjutkan dengan solat isyak berjemaah lebih kurang jam 8:45 malam...
(mohon maaf kerana aku tak sempat nak merakam apa yang berlaku dalam surau berkenaan)

Hening malam sepi tak sunyi, selesai solat perut berbunyi... He he he...
Kami dihidangkan dengan sedikit jamuan malam tersebut. Bermenukan nasi himpit berlauk rendang ayam, disamping beberapa jenis kuih dan bubur kacang hijau sebagai pencuci mulutnya, kami semua menikmati rezeki Allah malam itu dengan suasana yang penuh semangat perjuangan... Radix Aiskrim Soda dan Radix Oren sebagai menu penghilang dahaga. Alhamdulillah...

Aku dapat juga melihat ketibaan DOTY 2009, Pengarah Jati Mahkota (PJM) Hafidzan Faudzi, idola dalam aku bersama langkah perjuangan produk halal ini. Beliau yang tiba bersama isterinya di awal acara jamuan itu, turut serta menikmati hidangan dari pihak penganjur.










Solat telah ditunai, makan pun dah selesai... Tiba saatnya untuk semua masuk ke dalam dewan utama bagi menyempurnakan aturcara selanjutnya. Yang paling best malam tu, harapan aku sekian lama untuk bergambar bersama PJM Hafidzan Faudzi, akhirnya tercapai.

Sejak pertama kali bertemu dan mendengar slot 'Plan Marketing' di PBC Januari 2009 (INB Resort Melaka) yang disampaikan beliau, aku benar-benar tertarik akan penampilannya, gayanya sebagai seorang leader yang kini telah dinobatkan sebagai DOTY'09 dan catatan kejayaan beliau. Segalanya menjadikan beliau idola dalam aku mengorak langkah bersama HPA ini.

Kadang terfikir juga, bagaimanakah perjalanan beliau yang sentiasa sibuk mengejar masa dalam menunaikan tanggungjawabnya jika nak dibandingkan dengan kita. Mungkin kalau ditanya akan kemampuan aku sendiri, belum berani untuk aku nyatakan aku sanggup untuk turun dari KL ke Melaka, dari Melaka ke Perak pula, singgah di Kedah dan kembali ke Johor...!! Moga Allah mudahkan segalanya untuk beliau... Terima kasih atas kesudian PJM Hafidzan bergambar dengan seorang insan yang masih lagi perlu ditatih dalam perjuangan ini...



Ucapan dari pengerusi majlis, PJ Abd.Halim memulakan rentak acara di dalam dewan. Sedikit penerangan tentang tujuan penganjuran majlis dimaklumkan. Dan sebelum hamparan majlis dibentang lebih luas, alunan nasyid dengan lagu tema HPA, Teman Sejati menjadi pemecah keheningan malam...


Aturcara sedikit berubah daripada yang asal bilamana ceramah motivasi oleh PJM Hafidzan didahulukan, dan penyampaian cenderahati penghargaan dikemudiankan.

Aku yang sengaja mengambil tempat duduk di barisan paling hadapan, amat menunggu-nunggu saat itu. Pelbagai info terkini dan perkembangan Al-Wahida Marketing telah disampaikan oleh Tuan PJM. Antaranya kejayaan Ko-Wahida yang terkini, matlamatnya menjadi Bank Wahida dalam beberapa tahun mendatang dan pelbagai lagi. Suntikan semangat tak kurang hebat, menjadikan setiap yang mendengar lebih bersemangat. InsyAllah...










Selepas selesai ceramah motivasi dari tuan PJM, acara penyampaian hadiah dan cenderamata dimulakan. Anak-anak yang hadir dalam majlis tersebut menjadi kumpulan penerima pertama. Pemberian ikhlas sebagai tanda mereka dihargai atas sebab memahami akan kerja-kerja ibu bapa masing-masing, yang mungkin juga ada diantara mereka terpaksa ditinggalkan seketika taktala ibu dan ayah keluar berjumpa prospek, ke PBC, mengedar produk, melakukan promosi dan demo. Mudah-mudahan mereka akan terus memahami erti pengorbanan ini dan insyAllah di masa depan mereka akan mewarisinya pula.....






Berikutnya dilaksanakan pula penyampaian hadiah dan cenderahati kepada yang diraikan para pengurus (PLX-PRX-PJX) dan pengarah (PL-PR). Lima pemegang jawatan asas, yang bertitik tolak dari program Perkongsian Bijak Cemerlang (PBC) HPA ini ditampilkan seorang demi seorang oleh tuan pengerusi. Cenderahati disampaikan oleh PJM Hafidzan Faudzi.









Tak ketinggalan juga cenderahati berupa senaskah buku berjudul 'Ajaibnya Sedekah' buat semua PJ, PJS dan PJE yang hadir malam tersebut. Lepas tamat baca buku tu, moga bertambah sedekah tuan puan semua. He he he....





Turut diumumkan nama dua orang yang diisytiharkan naik pangkat dari Pengarah Meranti (PR) kepada Pengarah Jati (PJ). Seorang wakil adam dan seorang hawa... Tahniah buat mereka. Menerima hadiah cenderahati berupa set telefon bimbit... Alhamdulillah.



Terlihat juga di atas meja di satu sudut dewan tersebut. Lalu diri bertanya, banyak lagi hadiah tu, untuk apa??

Sebagai memberi peluang kepada semua untuk membawa pulang hadiah, acara cabutan bertuah turut menyerikan majlis kami malam itu.
(gambar untuk acara lucky draw tak dapat aku ambil sebab bateri kameraku tinggal nyawa-nyawa ikan. paham-paham sudah....)

Sebagai menutup tirai pertemuan kami, sekali lagi PJ Abd.Halim selaku teraju acara mengarahkan semua kami untuk berdiri dan menyanyikan lagu akhir sebagai pembakar semangat. Lagu yang liriknya telah terpatri dalam minda aku itu, akhirnya bergema di ruang berkenaan: Bingkai Kehidupan dendangan Shaoutul Harokah.....
Tangan diangkat tanda semangat, suara dilontar menjadi simbolik dakwah yang dibawa.

"Allah Ghoyatuna...
Ar-Rasul Qudwatuna...
Al-Quran Dusturuna...
Al-Jihadu Sabilluna...
Al-Mautu Fisabilillah...
Asma Amanina..."




Demikianlah berakhirnya majlis tersebut. Tahniah buat diriku sendiri dan semua rakan-rakan seperjuangan. Moga laluan mendatang lebih memberikan kejayaan berkat usaha dan kecekalan semua. Semangat yang disemai kita bajai bersama azam yang berterusan. Moga Allah sentiasa meredhai dan memberikan rahmatNya untuk semua...

Terima kasih tak terhingga dariku buat penganjur majlis ini, Group Sahabat Network yang diketuai oleh PJM Hafidzan Faudzi, serta Kelab Sahabat Siti Khadijah (KSSK) yang dipengerusikan oleh PJ Abd.Halim Said. Tak lupa buat barisan leader yang tak pernah kenal erti jemu dalam membajai lapangan juang ini. Hadiah yang kami terima bukanlah satu permintaan, namun pemberian itu menjadi tonggak kepada dakwah kami yang baru ingin bersama kalian. Syukran jazilan sekali lagi...
(secoret tulisan dari PLX Mohd Farid bin Baharudin)

**Tambahan:
Dalam perjalanan pulang ke rumah malam tersebut, telefon bimbitku berbunyi tanda ada SMS yang diterima masuk. Aku buka dan SMS nya berbunyi...

"Assalamualaikum. Tahniah ye. Waktu balik tadi nak jumpa jap. Tengok dah takde. Walaubagaimanapun, tingkatkan percent. Konsikan dengan saudara mara, sahabat handai. Kalau nak berjaya mesti kawan pada mereka yang dah berjaya. Tadi nampak berbual dan bergambar dengan PJM. Bagus teruskan usaha. Terima kasih pada ibu Farid sebab dia bagi semangat kat anak dia dan buka jalan kenalkan HPA. Rehatlah. Akak nak habiskan baca buku Ajaibnya Sedekah yang dapat tadi. Gambarnya RM50. Kirim salam pada ibu Farid. Try your best k... Bye."

(Terima kasih kepada pengirim SMS itu. Sememangnya dia sering hantar SMS bertanya khabar dan perkembanganku dalam HPA. Moga ukhwah perjuangan ini juga menjadi nadi persaudaraan berpanjangan antara semua. Dia yang aku maksudkan ialah, PJ Noor Rizah Md.Tahir @ Kak Izah. Tahniah juga kepada beliau yang baru bergelar Pengarah Jati (PJ) baru-baru ini...)