Satu Hari Di Hari Raya
Kudengar Irama Yang Sungguh Indah
Kucuba Mendekati Padanya
Kiranya Irama Itu Adalah
Suara Pujian Pada Yang Esa
Satu Hari Di Hari Raya
Kulihat Wajah Suci Ibuku
Kulihat Wajah Kasih Ayahku
Kugembira...
Mungkin Inilah Dia Kebahagiaan
_____________________*****_____________________
Setelah sekian lama menyepi di dunia blog, aku kembali semula dengan coretan kisah di Aidilfitri tahun ini..... Sebelum itu, kupohon sekali lagi ampun dan maaf zahir batin kepada semua teman-teman atas segala silap salah dan kekhilafan diri sepanjang perkenalan di dunia siber ini. Dan tak lupa dengan saki baki Syawal yang masih ada, kuucapkan Salam Lebaran buat semua.
Kisah bermula.....
19 September 2009, malam raya....
Esok pasti raya !! Malam itu aku telah sedia lebih awal untuk ke Masjid Selandar. Merebut peluang untuk aktiviti takbir beramai-ramai sempena ketibaan Syawal esok hari. Tak kurang hebat malam itu, kufikirkan tak ramai yang hadir untuk bertakbir. Ternyata anak-anak ahli kariah yang telah pulang ke pangkuan sanak-saudara dari perantauan, juga muncul malam ini. Peluang membesarkan Ilahi dengan alunan gema takbir di gerbang lebaran tahun ini direbut mereka.
Malam yang diiringi rintik hujan itu seakan menangisi tirai Ramadhan yang berlabuh. Moga bertemu lagi bulan mulia itu di tahun akan datang...
20 September 2009 @ 01 Syawal 1430 Hijrah
Seusai solat subuh, aku dan ayahanda mula bersiap diri dengan pakaian tradisi (baju melayu) untuk ke masjid. Namun tiada kesuntukkan masa yang timbul untuk ke solat sunat Aidilfitri kerana kami sedia maklum, di Masjid Selandar (setiap tahun) kalau setakat jam 7.30 pagi, masih banyak ruang kosong menanti jemaah. Tak macam di Masjid Paya Lebar, Ramuan China Besar (kampung ayahanda), pukul 7 kalau tak sampai masjid, jawabnya sembahyang raya atas tikar tepi jalanraya laa.....
Khutbah oleh Imam 1, Cikgu Jamal berlangsung lebih kurang jam 8.35 pagi selesai solat sunat hari raya. Diikuti dengan tahlil arwah seperti kebiasaan pada tahun-tahun lalu.
Pulang dari masjid, aku singgah sebentar ke kubur arwah bapa saudara di tanah perkuburan Kampung Pondok Kempas. Allahyarham Deni Abd.Ghani (kembali ke rahmatullah pada 28 Februari 1997 - Tarikh genapnya usiaku 10 tahun). Arwah adalah adik ibuku yang merupakan anak ke-4 dalam susunan adik-beradiknya.
Moga roh allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan mendapat rahmat-Nya. Amin.....
Lebih kurang jam 11 pagi, sebelum aktiviti raya pertama diteruskan, sesi bermaafan aku sekeluarga bermula. Bermula dengan aku bersama bonda dan ayahanda, diikuti isteriku bersama ibu dan ayah mertuanya. Kemudian ibuku bersama ayah dan diakhiri oleh isteriku bersamaku... Aduh, sesi ni yang paling menyentuh hati... Airmata tak dapat ditahan takkala 'dialog' mohon maaf dilafazkan. Moga leburlah segala dosa dan kesalahan di tapak tangan.....
(Nur Ainul hanya memandang kerana belum tahu berkata-kata dan belum kenal erti bicara...)
Sebelum meneruskan agenda pagi raya, puteriku sempat bergambar kenangan bersama datuknya... Almaklum lah, raya ni adalah raya pertama dalam hidup puteriku... Raya tahun lepas, masih dalam kandungan, he he he he.....
Kunjungan pertama aku sekeluarga adalah rumah nenda bondaku berdua. Jarak rumah yang kurang 20 meter, menjadi lokasi pertama setiap tahun di pagi raya. Sesi bergambar bersama keluarga ibu saudaraku (makcik-pakcik) serta bapa saudara (paklang-maklang) dan (paklong-maklong), berlangsung di hadapan taman bunga hasil usaha datukku sendiri.
Berdiri Belakang Dari Kanan:Muhammad Nursyafiq (sepupu), Muhammad Nurhiesham (sepupu), Mohd Farid Baharudin (aku), Yahya Abd.Ghani (paklong), Nur Ainul Mardiah Batrisyah (puteriku didukung oleh paklong), Yahaya Anuer (pakcik) dan Baharudin Meksen (ayahandaku).
Berdiri Tengah Dari Kanan:Maklong, Rohani Arbaae (maklang), Abd.Ghani Selim (datuk), Salmah Dolahmin (nenda), Laila Abd.Ghani (bonda), Nurhayati Ibrahim (isteriku) dan Faridah Abd.Ghani (makcik).
Depan Dari Kanan:
Muhammad Hakim (sepupu) dan Muhammad Nursyamil (sepupu).
Selepas beraya di rumah datuk dan nenek (sebelah ibuku) pagi itu, keluarga paklang dan makcik (beradik bonda) datang pula ke rumah kami sebelum paklang ke kampung isterinya di Bukit Mendi, Pahang dan makcik ke kampung suaminya di Muar, Johor. Lihatlah sendiri suasana dirumahku dalam kunjungan mereka di pagi Syawal tersebut.
(Jangan tak nampak Radix Cola atas meja yang jadi pilihan buat mereka...)
Menjelang tengahari, kami sekeluarga telah siap sedia memulakan perjalanan lebih kurang satu jam ke Solok Paya Lebar, Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah, Melaka (kampung ayahku).
Seperti raya tahun lalu, aku dan isteri tidak akan terus pulang ke kampung isteriku di Muar. Kami akan menghabiskan masa di kampung ayahku dahulu. Itu permintaan isteriku juga...
Setibanya di Ramuan Cina, azan zohor baru beberapa ketika berkumandang. Kami tidak terus ke rumah wan (nenek). Tanah Perkuburan Solok Paya Lebar jadi persinggahan. Emapat kuburan jadi ziarah kami bagi memanjat secebis doa buat arwah datukku Meksen bin Ahmad (bapa ayahku), arwah maklong, Tisah Meksen dan kubur arwah moyangku suami isteri. Moga mereka aman disana...
Tiba di rumah wan.....
Selesai solat, sempat juga kami bergambar sekeping dua sambil melepas penat perjalanan dari rumahku tadi sebelum mula melangkah untuk ziarah ke rumah-rumah saudara sebelah ayahku.....
Yang berbaju biru, bertutup kepala putih itulah wan (nenekku) sebelah ayah..... Ibu bapanya cina, namun wan aku ni diserahkan kepada sebuah keluarga melayu Islam untuk dipelihara sejak dilahirkan. Wan seorang yang amat menjaga ibadah dan agamanya. Banyak ilmu tentang agama aku perolehi dari wan. Kehidupannya kini yang tinggal seorang di kampung bukanlah diabaikan oleh ayah atau adik-beradik yang lain, tapi keengganan wan sendiri untuk tinggal seorang. Alasan yang diberikannya ialah mudah untuk dia berulang-alik ke surau.
Raya tahun ini, cicit wan bertambah lagi seorang dengan kehadiran Nur Ainul Mardiah Batrisyah. Tak tahu yang keberapa belas dalam senarai... He He He.....
Berangkatlah kami selepas itu ke rumah sanak-saudara sebelah ayah. Lebih kurang jam 6 petang, kami sekeluarga berangkat pulang semula ke rumah di Selandar. Aku, isteri dan puteri kami akan bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Kampung Melayu, Parit Yusuf, Muar, Johor (kampung mertuaku) selepas solat maghrib.
Ikuti sedikit sambungan coretan di entri post yang berikutnya nanti:
Lebaran Di Laman Mertua